Cover Depan
Dek kerana fitnah dan dihukum bapa sendiri,
Saifudin menjadi perantau di bumi Serambi Mekah - Aceh. Banyak ranjau yang
terpaksa dilalui sebelum bermukim di situ. Saifudin diangkat menjadi anak
asuhan kepada Wali Sufi. Memilih mendalami agama Islam berbanding seni
persilatan.
Di sinilah perawakan Saifudin terbentuk. Dari anak manja di Punggor berubah
menjadi pemuda yang pendiam. Ajaran agama Islam banyak membentuk caranya
bertingkah laku. Menjadi di antara kalangan pemuda yang taat berjemaah di
musollah. Sentiasa mengiringi Wali Sufi ke mana-mana dalam menyelesaikan
urusan. Juga menjadi pemberi minum di kalangan anak-anak murid guru persilatan
terhebat itu. Hatta, sering menjadi mangsa buli Djailuh dan Sadik di gelanggang
persilatan.
Kemunculan Ratna Sang Ratu Sulaman yang menyusup ke bumi Aceh dengan satu
tujuan - Wali Sufi untuk menghancurkan keampuhan Aceh daripada serangan
Kerajaan Pulau Utara yang sering kecundang di dalam kancah peperangan. Namun
Ratna gagal melakukannya. Justeru, anak asuhan Maharani itu menyasarkan
Saifudin. Membunuh Saifudin dipercayai bakal membunuh semangat juang Wali Sufi.
Rombongan kerajaan Pagar Ruyong tiba di Aceh. Engku Aminah, anak kerabat yang
rupawan menjadi perhatian anak-anak muda negeri ini. Namun Engku Aminah memilih
Saifudin kerana tertarik dengan akhlak terpuji pemuda itu. Bunga cinta mulai
tumbuh subur. Engku Aminah mulai menyedari rasa kasihnya pada Saifudin biarpun
dalam tempoh yang singkat. Namun Ratna muncul menjadi batu penghalangnya kerana
ada sekelumit rasa cemburu membajai jiwanya.
RAMLEE AWANG MURSHID menerapkan unsur cinta dalam karyanya kali ini. Cinta yang
terkawal peradabannya. Cinta bersifat fitrah. Jarang sekali rasa cinta itu
muncul bermula dari kebencian. Namun itulah yang berlaku. Cinta tiga segi
antara Saifudin, Engku Aminah dan Ratna Sang Ratu Sulaman. Cinta yang wujud
dari peperangan, kemarahan dan dendam. Penuh aksi mendebarkan. Digelumangi
magis dan kesaktian. Pelayaran dan pengembaraan yang terasa menggugah rasa
hati.
|